Ribery : Moh Ke Anfield Kome!
LAST_UPDATED2
Ditulis oleh beemer
FRIDAY, 10 JULY 2009 15:27

Saya agak terperanjat apabila membaca berita ini di internet. Desas-desus terbaru dari England telah menyatakan Pengurus Liverpool, Rafael Benitez telah bersedia untuk membuat bidaan bagi mendapatkan bintang Bayern Munich, Franck Ribery. Setelah membuat komen mengenai kerisauan beliau tentang perbelanjaan di pasaran perpindahan pemain yang semakin tidak terkawal, Rafa hari ini dilaporkan telah mengalihkan perhatian beliau kepada Ribery dan beliau dijangkakan akan memulakan bidaan untuk Ribery pada 46 juta euro. Ribery yang menarik perhatian Real Madrid di sepanjang musim panas ini kelihatan tidak lagi berminat untuk mendapatkan beliau memandangkan tiada posisi lagi untuk Ribery di skuad utama mereka. Walaupun mempunyai wang, Real tidak tahu di mana hendak diletakkan Ribery. Desas-desus ini kelihatan seperti mempunyai asas yang kukuh apabila penerima taruhan di England telah mengurangkan kemungkinan Ribery menyertai Liverpool dengan drastik sekali. Keadaan yang sama muncul beberapa hari sebelum Owen menyertai Manyoo. Jika benar Liverpool akan memulakan bidaan ke atas Ribery, saya pasti kita akan menghadapi saingan daripada banyak kelab seperti Chelsea yang sememangnya telah lama memburu tandatangan beliau.
Walau bagaimanapun, Bayern masih tetap dengan pendirian mereka tidak mahu melepaskan Ribery kecuali terdapat tawaran mega dibuat terhadap beliau. Ribery diberitakan telah menyatakan hasrat beliau untuk berpindah keluar dari Bayern Munich. Berita ini nampaknya telah menimbulkan spekulasi mengenai kedudukan Alonso dan Mascherano di Anfield. Walaupun Liverpool masih mahu mengekalkan kedua-dua pemain terbabit, namun dengan 17 juta pound yang telah dikeluarkan untuk membeli Glen Johnson, Rafa harus menjual sebelum beliau dapat membeli pemain seperti Ribery. Perkhabaran ini hanyalah desas-desus daripada internet. Sejauh mana kebenarannya amatlah diragui. Namun jika perkara ini benar-benar terjadi, Ribery pasti akan mewujudkan gandingan mantap dengan Torres dan Gerrard. Walau apapun yang bakal berlaku, kita berharap agar Rafa dapat memberikan yang terbaik kepada Liverpool!
YNWA
Sumber Dari goal.com
Gambar Dari epl.theoffside.com