Musim 2009/2010 belum lagi berakhir, kita masih punya 4 baki perlawanan yang harus dimenangi kesemuanya dan juga separuh akhir Liga Europa yang akan berlangsung 9 hari lagi. Soalannya, mampukah kita mengharunginya tanpa kelibat El Nino?
Siapakah yang harus bermain di posisi bahagian serangan SEKIRANYA kecederaan lutut El Nino mungkin akan memaksa beliau melupakan seluruh baki musim ini? Pemeriksaan awal tahap kecederaan El Nino memberikan keputusan "yang tidak meyakinkan" malah harus dirujuk kepada pakar di Sepanyol. Ini mungkin bukan satu berita yang baik kerana mungkin ini bermakna kecederaan yang dihadapi beliau bukanlah kecederaan biasa. Agak sedih kerana El Nino tampak memberikan impak dalam 8 perlawanan terakhir ini, termasuk 2 jaringan di dalam 4 perlawanan berturut-turut dan sudah tentulah ketika ini kita benar-benar perlukan kelibat beliau.
Dalam perlawanan menentang Fulham Ahad lepas, Rafa telah meletakkan harapan kepada penyerang muda berasal dari Perancis, David Ngog di barisan hadapan, dan turut memasukkan Dirk Kuyt bagi meletakkan formasi 4-4-2 namun kubu Fulham tampak terlalu sukar untuk ditembusi dan kesudahan yang lemah. Dalam perlawanan yang mana Pepe Reina hanya dikatakan berehat di gawang sendiri dalam hampir keseluruhan permainan, barisan atas pula gagal melaksanakan penyudah. Mungkin benarkah kita sebenarnya ketandusan penyerang? atau terlalu sukar untuk mencapai standard yang ditunjukkan oleh El Nino?
SIAPA YANG MAMPU MENGGALAS TUGAS EL NINO?
Dirk Kuyt - Punya sentuhan jaringan yang sangat bagus, namun Kuyt tidak punya kreativiti di hadapan pintu gol. Dia lebih dapat melakukan penyudah daripada hantaran silang atau penjuru. Apabila dikawal rapi, beliau tidak mudah meloloskan diri, dan sedikit perlahan.
Ryan Babel - Punya pace dan ledakan yang deras, serta mampu berlari laju; namun beliau punya sedikit kegopohan di hadapan pintu gol. Seperti Kuyt, beliau juga tidak punya kreativiti di hadapan pintu gol di mana arah dan tendangan beliau seperti boleh dibaca oleh pihak lawan. Babel juga ada sedikit sifat "tamak" yang seharusnya dibuang segera.
David Ngog - Penyerang muda Perancis ini telah bermain sebanyak 16 aksi sebagai kesebelasan utama, namun aksinya masih belum meyakinkan lagi. Dengan hanya 4 jaringan daripada 21 penampilan liga, kita semua sedia maklum Ngog masih lemah untuk melakukan penyudah walaupun tidak dinafikan Ngog bijak mencari peluang.
Dani Pacheco - Masih belum banyak yang mampu diperkatakan tentang penyerang muda berusia 19 tahun ini. Namun daripada beberapa aksi yang dipertunjukkan kepada kita selama penampilan beliau, mungkin dia dapat memberi alternatif yang sesuai untuk barisan hadapan.
Soalan yang masih belum terjawab: Siapakah yang mampu menggalas tugas El Nino?